Kertas kosong aku tatap dengan perasaan yang bolong. Bila ibu melihat
aku diam tanpa kata, ibu tahu aku sedang memerlukan sehelai kertas kosong
bersama pen biru kesukaanku.
“sayang, kalau tak boleh cerita pada ibu, tulis atas kertas ini. Kalau
penat tulis, lukislah. Ni ada crayon,”.
Aku bukan budak-budak kecil, tapi aku seringkali kehilangan kata yang
sempurna untuk meluahkan sesuatu. Dan seringkali aku mencari telinga yang
paling sempurna untuk mendengar ceritaku. Sungguh, telinga yang paling sempurna
itu sudah meninggalkanku 1400 tahun yang lalu. Hanya dua perkara yang
ditinggalkannya untuk merawat segala luka dan beban kehidupan, Kitabullah dan
sunnahnya.
Dan jika dia ada di hadapanku, Tuhan. Air mata sudah mengalir laju
mengenangkan perkara itu berlaku. Dia akan menenangkanku, dia akan mendoakanku,
dia akan menggembirakanku dengan kata-kata kasih sayang Tuhan, perkara sebegitu
aku yakin benar dia akan lakukan kepada sesiapa sahaja.
“sayang..,”.
Air mataku jatuh melimpah-limpah.
Lalu aku ambil crayon warna merah. Aku lukis bentuk hati yang
terpecah-pecah. Serpihannya kecil benar, sehingga aku tidak pasti siapa lagi
yang mampu memandangnya. Aku kemudiannya ambil crayon warna hitam lalu aku
lukiskan mata yang bergenang dengan air mata dan tangan yang terbelenggu dengan
ikatan tali sehingga sisa-sisa darah menitis dari ikatan tali yang sangat kuat.
Di sebelahnya aku tulis ‘let me go of it’.
Di bawah serpihan hati yang berwarna merah hitam, aku lalu melukiskan kaabah
dan keramaian manusia mengelilinginya. Dan aku coretkan sesuatu.
“Ibu, sudah sampai masanya kakak perlu pergi ke sana, di sini tiada
telinga-telinga dan hati-hati yang memahami. Kakak penat , ibu. Kakak perlu
pergi, kakak akan gila jika begini. Ibu, ingatkah cerita Khawlah binti Tsa’labah?
Pada ceritanya turunnya hukum zihar ke atas suaminya. Hanya berbekalkan
kata ‘You are like my mother,’. Khawlah sangat terasa hati ibu, hati kecil
isteri mana yang tidak terasa apabila seorang suami berkata begitu. Lalu Khawlah
pergi kepada Rasulullah dan berkata,
“Ya Rasulullah, aku ingin mengadu kepada Allah Taala tentang perkara ini,”.
Lalu Rasulullah memujuk Khawlah memaafkan suaminya, Aws bin al-Samit R.A.
“Ya Rasulullah, aku ingin mengadu kepada Allah Taala tentang perkara ini,”.
Lalu Rasulullah memujuk Khawlah memaafkan suaminya, Aws bin al-Samit R.A.
Maka tenanglah Khawlah mendengar pujukan Nabi. Dia lalu mahu bangkit
tetapi ditahan oleh Aishah R.A.
“Sesungguhnya aku duduk di bilik sebelah, tetapi aku mendengar
Rasulullah membaca ayat-ayat al-Quran dengan kuat. Maka aku tahu bahawa
Rasulullah mendapat wahyu ketika itu,”.
Surah al-Mujadilah, ayat pertama.
“Sungguh Allah telah mendengar ucapan perempuan yang mengajukan gugatan
kepadamu (Muhammad) tentang suaminya, dan mengadukan halnya kepada Allah, dan
Allah menengar percakapan antara kamu berdua. Sungguh Allah maha mendengar, maha
melihat,”.
Ibu, Khawlah berkata sesungguhnya aku mengadu kepada Allah tentang hal
ini. Maka Allah terus menjawab bahawa Dia mendengar segala-galanya. Ibu, kakak
bukan khawlah yag dinikahi oleh Aws ibnu Samit. Kakak bukan mahu mengadu
tentang perlakuan seorang suami, tetapi kakak mahukan penawar untuk hati yang
retak terpecah-pecah begini. Kakak mahu tenang di sisiNya, menggali hikmah
dengan segala Qada’ dan QadarNya.
Bolehkan ibu?,”
Lalu aku melihat air mata ibu menitis laju.
Malam itu, abi mengetuk pintu bilikku. Abi memberikan aku sekeping
kertas jadual trip umrah, lalu menunjukkan tarikh yang sudah ditempahnya.
Aku menatap wajah abi dengan mata yang berkaca-kaca, lalu aku peluk abi
erat-erat.
“terima kasih abi,”.
“Lusa, kakak. Kita pergi siapkan visa dan passport kakak. Passport kakak
dah tamat tahun lepas. InsyaAllah kakak jangan lepas doa, takut juga kalau tak
jadi. Kakak, tanah haram adalah milik Allah, kalau mahu pergi, perlu mohon pada
Allah. Kalau tak dapat pergi pun, kakak bertahanlah. Abi akan usahakan untuk 10
akhir Ramadhan,”.
Usai abi menutup pintu bilikku rapat.
Aku bangkit mengambil wuduk lalu pada hamparan sejadah, aku biarkan dahi
aku menciuminya.
Lama. Dan aku biarkan sejadah itu basah dengan air mata kesyukuran.
Terima kasih Tuhan.
Aku terus bertahmeed dan bertakbir.
KecintaanNya benar-benar luar biasa.
“Ibu, betapa unik dan misterinya takdir Tuhan. Ibu tahu apa kata Sufyan
at-Tsauri mengenai Allah?
‘Sungguh aku mahukan Allah menjadi hakim kepadaku dan bukan kedua ibu
bapaku. Kerana aku yakin bahawa Allah mencintaiku melebihi cinta kedua ibu
bapaku’”.
Sekali lagi, aku melihat ibu mengangguk laju dan menekup mukanya sambil
teresak-esak.
Aku hanya mengukir senyuman paling manis.
-Naora-
No comments:
Post a Comment