Wednesday, June 22, 2011

2:155

Entry ini panjang. Sekadar bercerita pengalaman. Dan tidak penting untuk dibaca. Maaf kalau bosan dan merapu dengan perkara yang tiada makna.

Buat pertama kalinya, suaranya bergema memukul pintu hati dan rasa. Sungguh. Saya terperuk dalam bilik, makin diam, bermuhasabah sambil membelek-belek buku tebal Biology. Kali ini, saya yakin, saya tidak down, tapi ada yang lebih takut untuk saya hadapi, Inferior.

Kali ini, dengan suara gurauannya, saya letakkan ia di tahap keseriusan yang tinggi. ada orang kata saya seperti budak-budak, kurang matang dan sebagainya. Cepat terasa atau sensitive dengan perkara-perkara remeh seperti ini. saya tahu, dan saya sedar.

Hidupnya manusia berkitar dengan pilihan. Pilihan baik atau pilihan buruk, kedua-duanya mendapat balasan yang berbeza. Allah memberikan kita dua jalan, Nah! Pilihlah! Kedua-dua jalan itu sebenarnya kita boleh manipulasikan ia menjadi satu jalan yang lurus. Jalan sehala menujuNya.

Dan tiada satu pun perkara yang berlaku tanpa hikmah dan pengajarannya kecuali kepada orang yang tidak mahu berfikir.

Berfikir? Itu fungsi akal.

Semalam, Tuhan menguji lagi. tetapi kali ini, dengan ketakutan yang luar biasa.

Memikirkan kejadian semalam, subhanallah, buat pertama kalinya, saya merasai ketakutan yang amat sangat. Ribut petir pada jam 1.30 malam semalam ketika saya bersama emak dalam perjalanan pulang ke Kuala Terengganu. Pokok sekitar ada yang tumbang, cermin depan kabur dan hujan lebat mencurah-curah. 

Buat pertama kalinya, saya sukakan malam yang gelap lebih dari cahaya yang cerah. Guruh berdentum-dentum, kilat memancar membuatkan saya sudah menangis ketakutan.


Lalu saya berfikir, kali ini adakah Allah mahu menguji atau bercerita sesuatu kepada saya. Rupa-rupanya,  Allah mengilhamkan jawapan pada soalan yang berlegar-legar di benak saya.

“Sesungguhnya Kami akan mengujimu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikan berita gembira kepada mereka yang sabar.” (Al-Baqarah ayat 155)


Sedikit ketakutan.


Tuhan hanya memberikan sedikit ketakutan. Tidak banyak kecuali sedikit. Begitulah sifat manusia, apabila masuk cerita musibah, sedikit dikatakan banyak. Sungguh tidak bersyukur dengan jumlah yang sedikit itu.


Cerita lagi, saya hanya mampu menutup badan dan muka dengan telekung sembahyang emak. Tiada lagi fikiran untuk hidup ketika itu. Mata saya meliar mencari sesuatu. Ya, saya menunggu Izrail untuk kali keduanya. Saya tidak berfikir tentang sesiapa kecuali kehidupan bawah tanah. Saya buntu memikirkan nasib saya nanti, adakah syurga akan terlihat atau sebaliknya. saya sememangnya bukan orang yang baik, jauh sekali hamba yang baik.  

saya manusia yang berdosa, adakah layak saya menapak ke gerbang yang ditunggu oleh Rasulullah?

Muhasabah dan pilihlah antara dua jalan. Bahagia atau derita. Saya tidak dapat bayangkan betapa ramai antara kita yang tertunduk malu kerana halnya yang lupa pada Tuhan.  Kata Saidina Ali Karamallahu wajhah,

“Jadilah kalian anak-anak akhirat, dan jangan menjadi anak-anak dunia. Sesungguhnya hari ini adalah amal dan belum ada hisab, sedangkan besok yang ada adalah hisab dan tidak ada lagi waktu untuk beramal.” (HR. Bukhari secara mu’allaq dalam Kitab ar-Riqaq, lihat Shahih Bukhari cet. Maktabah al-Iman hal. 1307).

Saya mahu memilih bahagia walaupun saya masih mengensot. Tidak mengapa, saya akan cuba gagahkan lutut dan tangan pula untuk merangkak. Pada yang sudah berlari menujuNya, jangan tidur di bawah hentian dosa dan leka, teruskan berlari sehingga nampak pintu syurga.

Saya suka lagu ini. Liriknya cantik. 




Maaf jika ada mesej yang tidak berbalas. Maaf jika ada panggilan yang tidak diangkat. Saya mahu diam dan biarkan saya diam. Saya mahu tenang dan biarkan saya tenang. Mungkin memerlukan masa yang lebih lama untuk berfikir dan bermuhasabah. Saya enggan berbicara banyak, cukuplah tulisan tangan yang bercerita.

Terima kasih kepada yang menyedarkan dan memberikan semangat. Saya beberapa kali membaca dan menghadam mesej panjang kamu, double panjang dari soalan saya. Kamu sudah menjawabnya dengan baik. Tuhan juga sudah menjawabnya dengan cara yang lebih baik. Barakallahufik.

Imam An-Nawawi telah menukilkan perkataan Imam Al-Ghazali di dalam kitab 
Al-Azkar berhubung dengan kepentingan doa:

“Doa menjadi sebab bala dijauhkan dan rahmat diturunkan. Ia dapat dikiaskan dengan perisai yang menjadi sebab senjata tidak menembusi badan”.


Khalish, saya berjanji akan menulis jika ada perkongsian atau cerita pengalaman sebagainya. Jika ada ibrah di sebalik pengalaman yang Allah takdirkan, saya akan menulis di sini. Jika tiada ibrah dan sekadar bercerita 
biasa, saya berjanji ada entry dalam blog yang kedua. Bercerita untuk memberitahu,

“Khalish, saya baik baik sahaja di sini, saya tunggu cerita-cerita di UPM sana.. supaya saya tidak berasa saya seorang sahaja yang banyak cakap dan menulis entah apa-apa. Hehe. "



No comments: