Sunday, October 30, 2011

Cinta di dalam Gelas



Cinta di dalam gelas karya Andrea Hirata.

Kali ini bukan sekadar memberikan inspirasi mental malah ia menusuk ke dalam hati, lebih dari itu.

Silap orang mengatakan dia perempuan yang sekadar di lombong timah, silap orang memandang enteng padanya. Silap orang mengatakan dia malang lagi hina. Dia sebenarnya tinggi emosinya, tidak pernah menghibakan diri, menangisi nasib berhari-hari.

“kalau aku susah, cukuplah kutangisi semalam, semalam suntuk! Esoknya aku tidak mahu menangis lagi. aku bangun dan tegak kembali! [enong aka Maryamah]

Luar biasa.

kata Enong lagi,

“berikan aku sesuatu yang paling sukar, aku akan belajar,”

Kata orang, mana mungkin Enong dapat bertahan dengan catur, permainan bangsawan dan cerdik cendikiawan, dia perempuan yang sekadar bekerja di lombong timah. Pada usia 14 tahun, di lombong timah itu, dia terpaksa lupakan sementara cita-citanya untuk menjadi guru bahasa asing. Kematian ayahnya, Zamzami menjadikannya wanita yang benar-benar tabah, matang dari usia. Kata orang lagi, jari jemarinya yang hitam, berkerak dan kaku tidak serasi dengan buah catur itu. 

Tapi kata Maryamah, belajar adalah sikap berani menentang segala ketidakmungkinan.

Dengan berlawan catur, Maryamah tahu akhir nanti, dia bakal bertemu bekas suaminya Matarom. Dia mahu mengumpul segala kekuatan, mengangkat cerita deritanya dengan si sombong Matarom. Dia pernah diperlakukan sesuka hati oleh Matarom, si lelaki hidung belang. Kehidupan perkahwinan yang tragis, tidak pernah bertemu titik bahagia.

Bukan isi sedihnya yang aku mahu kongsikan, tetapi isi azam dan nekadnya aku mahu bentangkan di sini. Semangat! Hihi.

Dia sebenarnya buta mainan catur. Dahinya berkerut-kerut memahami posisi buah catur, hatinya menangis pilu tetapi demi mengenangkan satu kebangkitan, digagahinya juga. awalnya, dia menggerakkan buah caturnya serampangan, meraikan kebebasan dan bertindak menjadi pengendali. Sehingga ke game 658, dia sudah bijak memasang mekanisme pertahanannya. Dia sudah pandai melindungi perwira dan rajanya. Melindungi rajanya dengan menyusun perwiranya seperti kubu geometri pentagon. Kata Grand Master Ninochka Stronovasky, dia menyusun pertahanan ala permainan catur oleh Anatoly Karpov, juara catur dunia 1976.

Di akhir cerita, aku juga bertempik kemenangan bagi pihak Maryamah, dia akhirnya bijak menguasai papan catur, menggunakan segenap kekuatan, menggunakan teknik berani mati Guioco Piano, tersandar bahagia melihat Matarom yang hampir lemas di kerusinya. Aku rasakan pedih dan segala isi sengsara terbayar dengan cara yang adil dan saksama. Meruntuhkan ego Matarom, lalu Matarom menjadi layu, kecil dan terpencil kerana hukum karmanya jatuh hanya di atas papan catur.

Kebijaksanaan yang luar biasa, melawan kelebihan sang lawan, bukan dengan merendahkan dirinya tetapi mengangkat martabatnya sebagai perempuan yang pernah ditinggalkan, perempuan yang cedera emosi dan mentalnya.

Aku merenung lama pada serangkap sajaknya yang berbunyi,

Cinta, ditaburkan dari langit,

Lelaki dan wanita mengadahkan tangan,

Berebut-rebut menangkapnya,

Banyak yang mendapat secupak,

Banyak yang mendapat segantang,

Semakin banyak,

Semakin tidak tergenggam.

Dan sebenarnya, cinta dan kasih sayang dari Tuhan sememangnya tak pernah mampu tergenggam lagi. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar.

Apa yang aku belajar dari novel ini, belajarlah menjadi perempuan yang menghargai diri, menjadi perempuan yang berhati waja dan tegas, sekuat Maryam binti Imran. Kehidupan ini, aku dan engkau melayarinya. Kita berlayar dengan bahtera sendiri, aku nakhoda, engkau nakhoda. tetapi walau tinggi mana pun kita, rendah juga di sisi Tuhan penguasa alam.

Walaupun pahit takdir itu kau dan aku terpaksa telan, ia lebih manis jika kau dan aku susulinya dengan rangkap syukur berulang kali.

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Kata emak, syukur mestilah disusuli dengan tindakan. J

Dan aku ulang berkali-kali ayatnya,

“kalau aku susah, cukuplah kutangisi semalam, semalam suntuk! Esoknya aku tidak mahu menangis lagi. aku bangun dan tegak kembali!”

Hah! Semangat lah baca textbook tebal tu pulak, syafiyyah! Phew!  *layu

-SyafiyyahMohdPauzi-



No comments: