Monday, April 18, 2011

tinggal kenangan

“nanti, kalau ada interview alQuran, ustaz suruh mengaji ke apa ke, buat molek molek. Masuk kelas alQuran..” pesan mak pada awal tahun 2004.

Sebenarnya, keistimewaan kelas pertama dan kedua untuk tingkatan satu hingga tiga hanyalah kerana kelas alQuran yang diajar oleh guru terbaik saya, Ustaz Mohd Nor bin Besar. Sesi petang selepas pukul 3 jarang jarang ada pelajar yang berminat untuk menghadirinya.

Tapi, suara ustaz sedap sangat. Betul. Tak tipu. Subhanallah. Tinggi ilmunya, warak orangnya, senyuman sentiasa di bibirnya.

Masih saya ingat kali pertama bertemu dengannya, saya diminta membacakan surah Maryam pada helaian yang pertama. Usai membaca,

“awak sanggup mari belajor dengan ustaz tiap tiap petang?”

“sanggup!” sengih-sengih.

“ustaz tak suka orang yang tak komited belajar alQuran..” dia tersenyum manis sambil berpesan.

“InsyaAllah.”

Dan, setiap selasa petang, kami ramai-ramai belajar di surau al-Maidah. Ustaz menerangkan tentang qiraat segala, kami hanya mengangguk faham. Ustaz mengajar mengaji berlagu, kami ikut juga. Tajwid semua diajarnya. Sehingga saya terfikir, dia benar-benar orang yang terbaik seperti Rasulullah katakan,

“sebaik-baik kamu adalah orang yang belajar dan mengajar alQuran..”

Masih saya ingat ketika di tingkatan 3, sebelum kami menduduki peperiksaan alQuran, ustaz sempat berpesan..

“nanti, kalau tak ingat alQuran ada berapa ayat, cari lah kereta ustaz, tengok nombor plat ustaz ok!..”

Kerana esoknya exam kertas alQuran, saya dan sebilangan sahabat lain dengan semangatnya mencari keretanya.

“hah! 6236!..” jerit sahabat saya. Agak excited la kan.

Teringat. Teringat.

Sudah lama tidak menjenguknya. Sudah lama tidak melangkah ke SHAMS. Rindu mee sup yang saya makan dengan menggunakan straw. Kami jadikannya sebagai chopstick. Bukan, namanya chopstraw.

Masih saya ingat, sebelum SPM, tempat paling bahagia untuk study adalah di bilik sakit, kebetulan ia bersebelahan dengan kelas saya. Bila masa EST, cepat-cepat saya melangkah ke bilik sakit. Kalau diingatkan, antara kenangan manis lah tu. entah apa-apa plus jahiliyyah. Huhu.

Tapi semalam, tett. Tettt.

“sedekahkan alFatihah kepada Ustaz Mohd Nor bin Besar yang meninggal pada 9.05 malam tadi kerana serangan sakit jantung...”

Tersentak.

9.05 malam? saya ketika itu sedang bercakap dengan Kak Pah, jiran rumah sambil menikmati nasi goreng  di surau usai kuliah maghrib. Tapi, siapa tahu ketika itu Izrail sedang mencabut nyawa Ustaz.

Ya Allah..

Tempatkannya dalam golongan para solihin. 

Semoga AlQuran menjagamu di sana, sebagaimana engkau memeliharanya ketika di dunia dahulu. Amen.

Terima kasih kerana mencelikkan mata hati kami yang buta.

Terima kasih kerana mengajar sesuatu yang amat berharga, takkan terbalas di dunia.

Terima kasih kerana menjadi murabbi yang benar-benar mulia.

Terima kasih, moga setiap kali bibir ini mengalunkan bacaan ayat-ayat cintaNya, di sana kau tersenyum bahagia melihat pahala yang takkan putus buat selama-lamanya.



alFatihah.


No comments: