Monday, January 24, 2011

hidup, tak lama kan?

Adakah wayar berselirat di ruang nafas ini akan aku ulangi, mereka tekup ia dengan alat teknologi moden ciptaan mereka?

Tiada guna.

Bila Kau kata, kembali! Maka, harusnya aku pergi.

Sepertimana Kau kata, jadilah! Maka, harusnya aku datang. Berbentuk dengan ciptaan yang Kau suka. Tapi, hati ini Kau berikan ia pilihan.

Kau kata pilihlah!

Si Laknat berkata, pilih hitam ini!

Si Cahaya menjerit, bergegar seluruh bahagian jiwa, ke mari jiwa! Ku seru kau ke mari! Putih ini jalan syurga!

Maka, hati, andai kau buta, azablah kau rasa.  Jika kau celik, bonus untukmu.

Aku kau pangku di ribaanmu. Bertahan, katamu.

Dahi ini kau kucup antara tanda kau rela atau tidak. Jasad ini kau peluk. Kemas. Tapi, aku lemas.

Berkejaran kau ke hospital, sedangkan rasa aku, tiada guna. Pucat bibirku. Biru. Air mata tak tertahan lagi. keluarlah.

kau seksa jiwaku dengan selirat wayar wayar bodoh ini! Sedangkan tika itu, aku mahukan, wuduk seluruh anggotaku.

Serasanya, aku mahu KalamNya dalam pelukanku. Biar aku pergi dengan begini. Aku mahu melihatMu usai tutup rapat mataku. Rindu.

Tuhan, kalau nanti aku pergi, Kau sambutkah aku?

Hati ini rasanya bagai mahu pecah-pecah. Tuhan, aku penat. Ambillah aku.

“kenapa macam ni? Tak cukup oksigen ni!..” doktor menjerit.

Kecoh ruang kecemasan. Ada beberapa lagi senasib denganku, aku lihat doktor itu membaringkan aku, satu bag kecil air di sisi ku.

“genggam kuat-kuat..” Pesannya sebelum memasukkan jarum ke dalam urat hijau lengan ini.

Sedangkan aku tiada daya. Tuhan itu maha perkasa.

Gagal.

“genggam lagi, awak...! nafas awak lemah! Kena kuat! “ suaranya tertekan.

Kuat? Sudah terlalu kuat aku menongkah arus dunia. Sehinggakan aku hilang saat kekuatan itu datang. Sudah terlalu kuat aku memendam perit di hati.

Mataku melilau mencari satu. Izrail. Mananya?

Kosong.

Aku menunggu lagi kelibatnya. kecut perutku. Takut, ya Rabb.

Penat aku menelan sesudu olive oil tiap pagi. Penat aku menelan masam buah epal hijau yang dikisar halus. Jus, mereka kata. puas sudah sekotak air orange Sunkist aku habiskan tiap-tiap hari. hasilnya tetap sama.

X-ray sana sini. Kebodohan melampau aku rasakan diri ini.

“tarik nafas dalam-dalam..” darah beroksigen berangkut ke sel lain. Percuma. Kalaulah Kau pinta aku bayar, bagaimana aku ya Allah?

Dengan apa lagi kebaikan Kau yang harus aku balas? Sehingga aku tidak punyai apa-apa lagi berharga untuk dipersembahkan kepadaMu.

Maka, aku tahu, hanya ada beberapa angka untuk aku bertahan.

Hidup tak lama kan?

Sujudlah nafsu. Rebahlah menunduk. Menyerahlah jiwa.

Aku sekadar mampu tersenyum bahagia, tika kubaca artikel mengenai para penduduk syurga berhari raya bersamaMu.

Tinggikah keinginanku? Kalau ya,  ampuni aku kerana sentiasa meminta.


No comments: