Monday, February 27, 2012

akhawat



Saya rindu menulis. Menulis dalam keadaan selesa dan tidak tergesa-gesa.  Saya sudah rindu pada mereka bernama akhawat. Adakah ini kemanisan tautan hati dari doa rabitah yang kita baca setiap hari? Adakah ini namanya keindahan bila kita akan berdakapan erat saat berjumpa? Jarak kita jauh, tapi doa ini sentiasa menghubungkan kita, kan?

Saya tidak peduli pada ramai atau sedikit jumlahnya, saf yang dituntut adalah saf yang berdirinya orang-orang mukmin, di mana kekentalan hatinya kita rasai, penuh sarat dengan rabbaniyyah dalam diri. Kita berjanji, akan bersama-sama di jalan dakwah dan tarbiyyah, malah kita berikrar untuk menjadi pendukung-pendukung dakwah Sunnah terbesar Rasulullah. meskipun ia berat, kita saling meminjam bahu saat futur, kita saling mengingatkan pada kebaikan dan kebajikan. Tahukah ukhti, hati ini menangis bila mendengar ayat-ayat Tuhan yang ukhti lantunkan? Tahukah ukhti, hati ini damai bila kita berpelukan lama, saling bertanya khabar dengan ikhlas senyuman? 

Tahukah ukhti, berat dakwah ini baru saya rasai? Kepenatan mengikuti daurah jauh tidak terbanding dengan semangat untuk meraih redha Allah. Berkali-kali kita saling mengingati. Kita sama-sama menelaah kebijaksanaan Hasan al-Banna dalam berdakwah. Kita ingin mengikuti contoh Umar Tilmisani, mursyidul am Ikhwanul Muslimin yang ke 3, berprinsip tegas bahawa dakwah ini tidak ternilai, sehingga beliau menolak apabila ditawarkan gaji. Duit sekadar alat, tidak terbanding dengan kemanisan berdakwah.

Ya ukhti, kita perempuan. Kita kaum lemah, tapi berapa kali kita saling mengingatkan, kita ini generasi Fatimah dan Asma’. Bahawa jumlah dai’e tidak mencukupi pada bilangan ramainya umat manusia. Lalu, bukankah sudah jatuh hukum wajib ke atas kita? Fardhu kifayah sudah bertukar fardhu ain. Apakah layak kita bermalas-malasan lalu mencari alasan atas perintah wajib ini? Hadui (tepuk dahi), moga Allah berikan kekuatan.

Kita meminjam kekuatan Sumaiyyah, bahawa tiada kata cinta selain La Ilaha IlAllah. Kita mahu menjadi seperti Ummu Sulaim, yang meminta Islam sebagai maharnya. Kita mahu menjadi seperti isteri Abdullah Ibnu Mas’ud, menginfakkan harta untuk suami dan anak-anaknya. Bukankah kata Rasulullah, infaq itu sama seperti infaq Fi sabilillah? Bukankah kebahagiaan seorang perempuan itu terletak pada redha ibu bapa dan suaminya? tetapi kita mahu lebih dari itu, kebahagiaan itu datang bersama redha Allah.

Kita mahu menjadi seperti ibu Sultan Muhammad al-Fateh, yang saban hari mendaki tempat tinggi, membawa baginda Sultan, lalu menunjuk ke arah Konstantinopel. Si ibu meyakinkan baginda adalah sebaik-baik raja dan mempunyai sebaik-baik tentera. Hasilnya, gereja besar di Konstantinopel bertukar wajah kepada Masjid Aya Sophia. Allah, Bukankah ia hasil didikan ibu solehah dan para ulama’?

Tadi, bila saya di Masjid Putra, Putrajaya. Di hadapan saya, ada seorang perempuan yang berumur dalam 20-an, dewasa sudah. Di tangannya, ada muqaddam, bersama seorang guru mengaji. Hati ini kagum, melihat kesungguhannya belajar membaca alquran. Subhanallah. Perubahan itu bila-bila masa akan terjadi. Bila-bila masa sahaja, sampai waktu mati. Bukankah tarbiyyah itu proses? Dari kurang baik, menjadi sedikit baik, kemudian berubah menjadi baik, dan terus menjadi terbaik. Konsisten dalam niat berhijrah.

Barakallahu feek ukhti. :D

Contengconteng # rindu tengok muka mak, rindu bising dengan abah, rindu ikmal, Imam, nana, addin, dan ofkoss, rindu Ahmad Muadz dan cik mar. 

No comments: