Wednesday, March 16, 2011

Ianya Proses!

Dia yang kebodohan. Dia perempuan yang kurang mengerti. Ya, diberikan hati untuk dipandu, diberikan akal untuk berfikir tapi akhirnya prinsip hati dan ketegasan jiwa dia langkaui sahaja. 

Tertinggallah dia di daerah kecewa. Bercerita soal kecewa, tiada siapa yang mengerti dan memahami. Malah, tiada siapa yang mahu menyelami, maka, jadilah dia perempuan yang keras hatinya, bulat tekadnya.

Dia mahu cuba mengukir episode baru di atas keruntuhan jiwa dahulu. Bangkit bersama dakwah dan tarbiyyah.  Andai palitan dosa lalu tidak terpadam di dalam catitan Allah, biarkan dia terus berlari mendukung wadah suci ini. Ia kifarah dosa!

Dahulu, bila dia cuba berjinak-jinak dengan hati leka, hatinya bagai terpisah dengan Allah. Bila disapa mesra oleh pujukan sang cinta, dia tersandar layu, bagai pohon semalu yang kuncup bila disentuh. Aaahh! Jahiliyyah! Serunya berkali-kali.

Teringat dia pada tazkirah sahabat,

“mengikut Ibnu Taimiyyah, jahil bermaksud tidak tahu, tidak punyai ilmu atau tidak mengikuti ilmu. Orang yang tidak tahu kebenaran dipanggil jahil ringan manakala hamba yang tahu kebenaran tetapi menentangnya adalah tergolong dalam jahil berat. Fikirkan kita tergolong dalam golongan yang mana satu..”

Berkali-kali dia bersumpah, cerita lalu tidak akan pernah berulang lagi. Dia serik. Berkali-kali dia menangis dalam sujud taubatnya, janjinya, lorong lalu takkan sesekali ditempuhi lagi. Dia mahu menjadi perempuan yang Allah cintai, solehah akhlaknya, penawar hati ayah bonda, yang paling penting, dia mahu mendaki tangga-tangga mukminah itu.

Dia rindukan bi’ah solehah medan dakwah yang dia bina bersama teman satu masa lalu. Biarpun, kemudian dia kecundang soal hati. Ya. dia sebenarnya pernah mencintai. Cinta manusia yang menyeretnya ke lembah suci ini. Cinta yang membuatnya semakin mengerti erti cinta hakiki.

Bukan dia tidak pernah malu tidak cukup muka pada teman-teman yang tahu, tapi hakikatnya, dia semakin mengerti bahawa tarbiyyah itu prosesnya cukup indah. Dia sebenarnya berada di arus kitaran itu.

Prosesnya mudah dibicara tetapi payah untuk dilaksana, daripada muslim yang kurang baik, menjadi baik, kemudian bertambah baik, selepas itu, dia mendoakan dia mampu menjadi muslim super. Muslim yang Allah janjikan di dalam surah Al-Imran ayat 110.

Siapa kata, tarbiyyah hanya untuk mereka yang baik-baik dan alim? Proses! Berkali-kali akal mengingatkannya bila penyakit rendah diri datang menjenguk. Ya, jangan bimbang, dia sentiasa sedar diri siapa dia dahulu.

 Kalau dahulu, dia gemar memijak tangga-tangga ke bilik karaoke, kini dia sudah mengerti makna leka. Kalau dahulu, senarai movie untuk ditonton setiap minggu akan ditampal di dinding, kini dia makin mengerti makna syubhah. Kalau dahulu, dia fanatic dengan lagu Linkin Park, kini dia sudah mengerti makna lagha.

Dia merindui jalan tenang, jalan bahagia yang sedang ditujuinya. Dia rindukan sahabiah terbaiknya, yang membawanya kepada Allah. Dia jadi rindu kepada majlis ilmu, yang diketuai oleh murrabi yang hebat, pilihan Allah. Dia mahu hatinya lekat sentiasa pada majlis ilmu, seperti kata pak ustaz,

“Allah suka pada orang yang duduk di majlis ilmu. Beramal atau tidak lain cerita, yang penting, dengar dulu. Sebab orang yang berada di majlis ilmu, hati dan akalnya berada di situ, di mana berfikir itu lebih baik dari solat seribu tahun. Subhanallah!,

Sambung pak ustaz lagi,

Orang yang duduk di majlis ilmu, yang mendengar dan membuka hati untuk menerimanya, akan dikurniakan Allah 6 keistimewaan. Pertama, akan dikurniakan rezeki yang halal, bebas dari soalan Munkar dan Nakir, menerima catatan dari tangan kanan, akan berada dalam rombongan para nabi dan Rasul, melintas siratulmustaqim dengan laju bagaikan kilat, dan Allah akan binakan mahligainya di Syurga abadi..”

Ya. Biarkan dia terus berada di jalan dakwah dan tarbiyyah ini. Dia yang dahulunya kebodohan, sedang memudarkan sisa-sisa cinta hamba, mahu dibawa hatinya sejahtera kepada Tuhan. Mengerti itu dalam maknanya. Pintar akal tidak dapat disamakan dengan mengerti. Jauh panggang dari api. Ianya satu proses!

“ Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhaiNya..”  (89 : 27-28)

Cuba kita pula mengerti. Mari!

saya suka kata-kata Ibnu Mas'u.

" Dagangan Allah amat mahal harganya, kerana daganganNya adalah syurga. Subhanallah!.."

*copy n paste dari http://drummah.blogspot.com/.

No comments: