Monday, January 31, 2011

'S E R I U S'

Bismillahirrahmanirrahim.

Ini cerita 2 bulan lalu, saya imbasnya, mengambil pelajaran, terkenangnya selepas membaca Solusi Isu no 28.

“Hah?! Pakai lagi! pakai laaaa lagik...”

Muka merah, hati panas. Terasa benar gagal mendidiknya, lama meninggalkan dirinya yang kadang-kadang stabil, terkadang tidak.

“ikut orang laaaaaaah!”

Gagal.

Kesal.

Bila bahang terasa, diam adalah jalan penyelesaian yang terbaik. Terasa benar pada diri, mengapa tidak ditegurnya berhikmah, sedangkan teguran jatuh ke hati dahulu, barulah pada akalnya.

Masakan dia mahu berlapang dada, jika perasaannya saya robek dengan kasar. Ya. Walaupun bukan kata kesat yang saya lontarkan, tapi suara keras menjadikan hatinya keras, jiwanya sudah sukar saya gugah, padahal taruhan pertama adalah auratnya.

“lepas ni, kalau pakai lagi, kak pi kutip buang!..”

“hor!...”

Bosan.

Kenapa perlu berkasar wahai diri, sedangkan dia adalah darah dagingmu, sedangkan dia adalah amanahmu. Ya. Maaf adik. Terkadang, hati mahu menegur dengan lembut, tetapi, suara naik pula. kesilapan terbesar adalah dari nada suara, tinggi atau rendah, kasar atau lembut.

Gagal mengawal intonasi. Jahil terasa. Maaf. Suara terkeluar  dengan nada luarbiasa.

Saya imbas hal-hal lalu, satu persatu kebaikannya terlayar di depan mata. Terklik pada gambar waktu kecil, dia cerah dan montel. Sekarang, gelap sedikit dan kurus. Dia sebenarnya benar-benar menempuh alam remaja. Mahu mencuba. Mahu bebas. Tiada sekatan. Jangan ada sempadan.

Tekanan.

Benarkah saya cintakannya?

Kalau benar, pasti suara itu lunak, pasti hatinya tidak memberontak. Sukar saya tembus, bukan apa, sekadar enggan menerima perlakuannya. Enggan bertoleransi padahal ilmu aurat sudah pun dia khatam, sudah pun dia tahu.

Saya kagum pada deretan buku tersusun di rak buku kepunyaannya, padahal dialah berjasa menyampaikan sirah kepada saya, kalau berdiskusi tentang sahabat nabi, dialah juara bertanya dan menerangkan.

tidak pernah mengungkit andai saya minta duit simpanannya untuk membeli buku, entah mengapa saya berkasar pada sesuatu yang remeh padanya, tapi besar sebenarnya.

Ya. Parasnya benar-benar tepat pada lutut. Kalau duduk, nampak terang lagi jelas lututnya. Dari segi bahasa mata, kurang sedap untuk memandang. Aib.

Kalau cinta, mahu bersama hingga ke syurga, bukan turut sama menghumbannya ke dalam neraka. Bukan marah tak tentu hala. Bukan panas tak tahu pasal.

Kurang cintakah?

Tidak. Ia sebenarnya tebal dan kebal.

Kesalahan itu pertamanya terletak pada bahu saya.

Kenapa tidak berakhlak, diri?

Padahal, akhlak itu bunga diri. Harumnya mewangi.

Akhlak menegur. Akhlak itu santun.

Panasnya sekejap. sejuknya kembali.

Tengok dia asyik leka dengan game bolanya. Matanya tepat memandang tv. Perlahan-lahan saya mendekatinya untuk meminta maaf, mendekati untuk dimaafkan. Bahasa suara enggan mengulasnya, saya mulakannya dengan pertanyaan dan gurauan.

“kak pi tag video pakai hukum seluar pendek eyh..kak pi dop tahu jugak hukum dia, biar ustaz je terang eyh...nak dop?”

“sohbeng laa (takyah laa)..malu la orang..cerita je la amende ustaz tu kabo...”

Saya menerangkan tentang isi video itu perlahan-lahan, beberapa soalan dia kemukakan, soalannya saya jawab berdasarkan isi ustaz. 

Ajaib jawapannya. Terkedu seketika.

“jangan buang seluar pendek tu, nak pakai dengan seluar sekolah, sabtu ni, kak pi kena hantar pergi kedai al-ikhsan, ***** tau..lima helai!!..”

“dua!..” saya enggan bertoleransi kali ini. Ini sudah lebih. Bagi betis, nak paha. Haiyya.

“dua? Kalau tu takyah beli.”

“okay. Dosa tanggung sendiri...”

“okay. Dua.”

Lega, ya Allah. Terima kasih, Allah.

tidak mengapa, asalkan dia sudah berjanji membuang seluar-seluar tak cukup inci itu jauh dari pandangan mata kami. Memuaskan hati kami.

Alhamdulillah, Konvensyen Memperingati 500 tahun Kejatuhan Empayar Melayu Islam Melaka selamat dihadiri, inputnya terasa luas, besar maknanya. Rindu pada bumi Melaka akhirnya terlunas juga, rindu makan oblong orang Melaka, rindu nyanyi lagu negeri Melaka, rindu makan masakan Melaka, walau dua minggu berada di matrikulasi Melaka, indahnya tetap terasa hingga sekarang.

Pelajaran pertama saya kutip dari Ustaz Fauzi,

“berakhlak dengan serius. Beribadah dengan serius. Berdakwah dengan serius.. siti ‘aliah hafizah mengulangnya berkali-kali, mengingatkan saya jua dirinya.

Ya.

Berakhlak dengan serius! Menegur dengan ‘serius’ juga. Teguran jatuh pada hati dulu, inputnya baru diproses oleh akal.

Jahil. Maaf sangat ya sesiapa terkena intonasi tinggi tu.

Bukankah jalan hijrah sentiasa terbentang luas? Antara dua, berada di takuk lama, atau berubah mencari baharu.

Ya. ‘Serius’. menegur dan aurat itu serius, ya diri.

Terima kasih. Terkesan sudah.


test power faham base ganu? sure faham. hoo.



No comments: